Wednesday, 19 October 2011

Apa Yang Kita Kejarkan di Dunia ini???

Ya Allah aku takut aku dalam golongan yang memandang dunia dalam perspektif dunia,

Ya Allah aku takut kecintaan ku kepada isi dunia melebihi kecintaan kepadaMu,

Ya Allah aku takut akan nerakaMu dan aku takut orang-orang disekelilingku akan menarikku ke neraka di akhirat kelak,

Ya Allah aku takut aku lena diulit keduniaan sehingga aku menjadi antara orang yang tidak bersyukur,

Ya Allah dunia ini terlalu hina untuk ditangisi berbanding apa yang akan aku tangisi di akhirat kelak,

Ya Allah aku takut segala amalan aku menjadikan aku jauh dari Mu kerana aku riya',


Ramai diantara kita alpa bahawa usia kian bertambah, panggilan kubur semakin mendekat, rumah dan segala harta semakin menjauh. Kita memandang dunia dari perspektif dunia, andai kata kita memandang dunia dari persperktif akhirat insyaAllah kita akan menghayati kebahagiaan dan mengejar amalan yang tidak terhingga.

Suatu hari ada seorang Ustaz ini menyatakan pendapat beliau iaitu sekiranya ada seseorang meninggal dunia dan menceritakan apa yang dialaminya nescaya manusia tetap tidak akan berubah, 

Sebentar tadi pakcik terbaca hasil penulisan ringkas seorang hamba Allah ini dan pakcik kongsikan sebahagian di bawah ini (amat menyentuh hati):

Dari Muawiah bin Abi Sufyan RA dia berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda:

لْمُؤَذِّنُونَ أَطْوَلُ النَّاسِ أَعْنَاقًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ

“Orang-orang yang azan (muazzin) adalah orang yang paling panjang lehernya pada hari kiamat.” (HR. Muslim no. 387)
Yakni tatkala manusia sudah berdesak-desakan dan ketika peluh-peluh manusia sudah membanjiri mereka, bahkan ada yang peluhnya setinggi mulutnya. Maka muazzin selamat dari semua itu kerana leher mereka yang panjang. (Syarh Muslim: 4/333 karya An-Nawawi)

Abu Said Al-Khudri RA pernah berkata kepada Abdullah bin Abdirrahman bin Abi Sha’sha’ah Al-Anshari:

ى صَوْتِ الْمُؤَذِّنِ جِنٌّ وَلَا إِنْسٌ وَلَا شَيْءٌ إِلَّا شَهِدَ لَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ. قَالَ أَبُو سَعِيدٍ: سَمِعْتُهُ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

“Saya perhatikan kamu sangat menyukai kambing dan kampung. Kerananya jika kamu sedang bersama kambingmu atau sedang berada di kampungmu lalu kamu mengumandangkan azan untuk melaksanakan solat, maka tinggikanlah suaramu ketika azan. kerana sesungguhnya tidaklah suara muazzin itu didengarkan oleh jin, manusia, dan yang lainnya melainkan semuanya akan menjadi saksi baginya pada hari kiamat. Kemudian Abu Said berkata, “Saya mendengarkan (hadis) ini dari Rasulullah SAW.” (HR. Al-Bukhari no. 87)

Dari Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda :

لَوْ يَعْلَمُ النَّاسُ مَا فِي النِّدَاءِ وَالصَّفِّ الْأَوَّلِ ثُمَّ لَمْ يَجِدُوا إِلَّا أَنْ يَسْتَهِمُوا عَلَيْهِ لَاسْتَهَمُوا وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِي التَّهْجِيرِ لَاسْتَبَقُوا إِلَيْهِ وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِي الْ

“Kalau seandainya manusia mengetahui besarnya pahala yang ada pada panggilan (azan) dan saf pertama kemudian mereka tidak boleh mendapatkannya kecuali dengan undian maka pasti mereka akan mengundinya. Dan kalaulah mereka mengetahui besarnya pahala yang akan didapatkan kerana bersegera menuju solat maka mereka pasti akan berlumba-lumba (untuk menghadirinya). Dan kalaulah seandainya mereka mengetahui besarnya pahala yang akan didapatkan dengan mengerjakan solat Isyak dan subuh, maka pasti mereka akan mendatanginya meskipun harus dengan merangkak.” (HR. Al-Bukhari no. 69 dan Muslim no. 437)


Selama ini kita semua dan pakcik jahil, banyak ruang-ruang peluang untuk kita memperolehi ganjaranNya namun kita semua dan pakcik sendiri seakan tidak cuba mengejarnya. Ampuni dosa kami Ya Allah.

Pakcik juga mengingatkan diri pakcik dan juga pembaca. Dunia ini tempat untuk kita berusaha keras mendapatkan keredhaan dan ketakwaan Allah. Andai seluruh apa yang kita ada di dunia ini kita muatkan ke dalam neraca timbangan di akhirat nescaya belum tentu menyelamatkan kita di akhirat kelak jika tanpa keredhaan Allah.

Renungkan ramai di antara kita sudah dijemput kembali Penciptanya, kita hari ini dan saat ini masih mampu bernafas, masih mampu bersuka ria, masih mampu berjenaka, masih  mampu melihat luar jendela. Bilakah pula kita akan dijemput? 

Allah masih sayangkan kita untuk memperbaiki, menambah atau mahu menguji kita adakah kita gunakan masa ini sebaik-baiknya. Kita tidak mampu mengecapi kebahagiaan tanpa keredhaanNya.

Janganlah kita membuka aib orang lain dan aib kita sendiri. Mohonlah supaya diberi kekuatan dariNya untuk dikelukan lidah dari berkata sesuatu yang tidak baik.

Ilmu yang kita ada bukanlah untuk menunjuk-nunjuk akan kehebatan kita, bukan untuk dibanggakan dalam kalangan kita tetapi untuk diamalkan dan disampaikan dengan betul. Bahkan ia menjadi salah satu penyelamat kita kelak. Pakcik takut di akhirat kelak Allah akan berkata "Wahai kamu manusia, kamu melakukan sesuatu kerana ingin menunjuk-nunjuk maka mintalah pahala dari orang yang kamu menunjuk-nunjuk itu". Sedangkan semua itu datang dari Allah, maka penuh sia-sia apa yang kita lakukan di dunia ini.

Salinglah kita ingat mengingati sesama kita. Walaupun apa yang kita luahkan itu teramat berat untuk diungkapkan. Sampaikan secara berhemah supaya si penerima akan menerima dengan hati terbuka.

Sekian sahaja penulisan pakcik kali ini, maafkan dan tegurlah pakcik sekiranya pakcik menyampaikan sesuatu yang salah. Andaikata ini adalah penulisan terakhir pakcik, maafkan segala dosa pakcik, halalkan apa yang pakcik ambil dan terambil. Pakcik tidak pandai berdakwah tetapi pakcik berharap penulisan ini mampu mencetuskan sesuatu dalam diri pakcik dan kita semua. InsyaAllah.

Insan yang sedang belajar

Osman.Z

1 comment:

el mundo zine said...

"andai kata kita memandang dunia dari persperktif akhirat insyaAllah kita akan menghayati kebahagiaan dan mengejar amalan yang tidak terhingga."

..cinta dunia untuk cinta tuhan..