Assalammualaikum w.b.t...
Bab ni la pakcik paling suka, tah nape la bila bab tentang sistem pendidikan negara pakcik agak berkobar-kobar. Pagi tadi pakcik pon terlibat la jadi penonton debat peringkat akhir kat maktab pakcik ni kan. Ye la kalau tak silap pakcik yang dua-dua kumpulan dari semester 1 rasanya so paling junior la kan.
Pakcik tabik spring kat korang la sebab nampak la sikit akademiknya kan. Tak pe la korang pon masih belum terdedah banyak lagi pengalaman dan kalau berdebat pon akan berpusing-pusing di permukaan sahaja. Ulang benda yang sama je. Sebut Penyata Razak, laporan itu ini, modal insan, Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Takpe-takpe nanti korang da berpraktikum korang akan dapat sedikit sebanyak lagi pengalaman.
Kita penentu kegagalan dan kejayaan sistem pendidikan negara |
Kurikulum Standard Sekolah Rendah telah diperkenalkan untuk menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah bukan kerana sistem pendidikan kita gagal namun sebenarnya kita sudah mencapai satu standard yang diingini. Ok siapa yang kata sistem kita gagal sila angkat tangan? Ha tak berani korang kan.
Sebenarnya kita tidak gagal, cuba imbas kembali suatu ketika dulu sistem pendidikan bersifat berpusatkan guru. Murid ke sekolah belajar, balik buat kerja rumah dan esok ke sekolah semula. kebanyakan pembelajaran akan terhad dengan sumber yang terhad. Kini pelbagai kemudahan ICT telah diperkenalkan. Guru tidak perlu bersusah payah membaca buku nak terangkan satu persatu. Kini guna komputer, projektor dan internet semuanya akan menyampaikan dengan lebih baik. Unsur kreatif dan inovatif telah wujud secara langsung. Secara makna pasarnya kita da sampai ke satu standard yang ditetapkan dan kita perlu bergerak seiring dengan masa.
Sistem pendidikan tidak salah namun penggeraknya iaitu pihak sekolah, guru, ibu bapa dan masyarakat bertanggungjawab dalam kegagalan ini. Bagi sesiapa yang mempunyai masa layari laman sesawang Kementerian Pelajaran Malaysia dan muat turun apa yang dikatakan dengan KSSR itu sendiri. Jangan menuding jari mencari siapa salah. Pakcik sendiri akui bahawa KSSR yang direka kini akan meningkatkan sistem pendidikan negara kerana kita sudah mencapai suatu standard yang dimahukan.
Mungkin ada penulisan pakcik sebelum ini banyak mencari kesalahan sistem pendidikan namun setelah pembacaan dan kajian pakcik akui pakcik tersilap. Mengapa? Kita lihat sekeliling kita bagaimana anasir-anasir luar telah mengganggu gugat pemikiran anak bangsa. Dengan hiburannya, masalah sosialnya sehinggalah adab belajar telah terganggu. Bukan sistem pendidikan yang salah tetapi persekitaran yang terbentuk tanpa kawalan ini yang telah menjangkiti pemikiran anak bangsa kita. Jika pakcik salah silakan tegur ya.
Pakcik selalu tekankan bahawa pembudayaan ilmu itu sangat penting dan perlu disemai dalam jiwa murid masa kini. Pernah suatu ketika pakcik melihat sebuah sekolah menjalankan Satu Murid Satu Buku namun apa yang dilihat adalah luaran sahaja. Murid masih berada di takuk yang lama, bermain berlari berkejaran dengan buku masih digenggam. Lihat bagaimana penggerak sistem pendidikan perlu lebih kreatif dan inovatif menggerakkan anak bangsa kita.
Suatu masa anak murid pakcik (masa latihan mengajar) pernah bertanya 1001 soalan ketika pakcik mengajar mereka mengenai tajuk Bumi dan Angkasa. Pakcik agak tersenyum dengan soalan dan gelagat mereka. Iya la bagaimana kita tak terkesan bahawa kita sedang mewujudkan budaya ilmu dalam diri mereka. Ada diantara mereka yang meminjam buku dan baca di rumah dan ada juga yang selepas bersahur akan melihat bulan, bintang dan perubahan yang mereka perhatikan. Namun tugas guru agak terhad di sekolah dan di rumah ibu bapa perlu memainkan peranan mereka supaya anak bangsa kita tetap membudayakan ilmu. Bayangkan kita ajar mengenai buruj dan waktu malam murid akan melakukan pemerhatian menganai buruj. Syukur jika ini berlaku kita telah berjaya membentuk budaya ilmu dalam diri mereka. Apa yang perlu ialah sokongan dan bantuan.
Sekarang masa sudah kelihatan lebih pantas bahkan kita merasa masa terlalu singkat dari apa yang dijangkakan. Bagi bakal guru tanam dalam jiwa bahawa bila kita keluar nanti kita akan menjadi pendidik yang bersungguh-sungguh demi anak bangsa kita. Gagalnya kita maka gagallah seluruh generasi negara.
Renung-renungkan dan selamat beramal. Sekian sahaja dari pakcik. As salam.
Insan yang sedang belajar
Osman. Z
No comments:
Post a Comment