Saturday 23 January 2016

Tips Menghadapi Tahun Yang Mencabar

Assalammualaikum. Fuhhhh penuh bersawang, rumput naik meninggi sampai ke bumbung blog pakcik ni. Lama betul tidak menulis. Ok hari ini pakcik akan mencoret hari-hari indah korang seperti biasa.

Tahun 2015 merupakan tahun sukar buat Malaysia Tanah Tumpah Darahku. Ekonomi Malaysia agak kelam sepanjang tahun 2015 dan tahun 2016 dijangka akan lebih mencabar. Sebenarnya ekonomi Malaysia mula tenat lebih awal lagi, namun kita belum sedar akan ketenatannya.

Ok kali ini pakcik tidak akan mencoret dalam bahasa ekonomi yang bombastik. Sebab pakcik pun bukan pakar sangat tentang ekonomi apatah lagi cuba merungkai permasalahan ini. Kang korang kata pakcik membongak sajo.

Ini tips-tips menghadapi tahun yang lebih mencabar atau kata lainnya tahun 2016.

  • Pelan bajet kewangan anda.
Jika tahun-tahun sudah korang pun bukan kisah tentang cashflow korang (lagi-lagi jenis makan gaji). Ubah sikap tersebut.

Mulai sekarang dan 90 tahun akan datang (kalau panjang umur), korang dah kena mula bajet kewangan korang setiap bulan. 

Contohnya kena ada pelan jangka pendek (dalam masa 3 tahun kita dah kena ada simpanan 3 kali dari jumlah gaji dan kecemasan 6 kali dari jumlah gaji dan pelan jangka panjang 10 hingga 20 tahun dari sekarang kita sudah mempunyai tabung persaraan sebanyak ratusan ribu. Tetapkan matlamat dan mula dari sekarang.

Kenal pasti sebarang ketirisan sebelum ini dalam takungan kewangan dan kawal semua perbelanjaan yang tidak perlu. Pastikan yang keluar tidak terlalu banyak melebihi yang masuk. Kalau tidak setiap bulan gali lubang tutup lubang.



  • Simpan, simpan, simpan dan beranak (labur bukan lebur)
    sumber:www.rezekipelaburan.com

Setiap bulan pastikan menyimpan. Ingat tetapkan berapa target simpanan bulanan kita.

Contohnya kita tetapkan minimum RM 100 setiap bulan. Setahun kita sudah ada RM 1200.

Sekiranya kita tetapkan sebulan RM 300. Setahun kita sudah ada RM 3600. Dan seterusnya.

Pokoknya simpan di tempat yang boleh diberanakkan tanpa ada isu melanggar hukum syariah. Contohnya ASB atau Tabung Haji. Bukan di mesin kuda atau seangkatan dengannya.

  • Jauhi Skim Cepat Kaya

Ada seorang rakan pakcik bertanya. Kalau kita join program ini, paling tidak setahun boleh jana sehingga 500 % keuntungan.

" Abah kau " jawab pakcik sambil mengekalkan kemachoan.

Ingat kalau ada jaminan keuntungan ditambah sehingga melebihi 100 % peratus setahun. Ko ludah kat tepi jalan, bukan muka orang tu. Kang silap-silap ke hospital nanti. Haha.

Skim cepat kaya ini sudah berevolusi. Kalau dulu jenis join Rm 450.00 jamin dapat RM 30 000.00 dalam masa setahun. Syaratnya cari downline lagi.

 

Kini Skim Cepat Kaya sudah berubah wajah lebih kepada struktur perniagaan. Program komoditi utama emas lah, minyak sawit lah, ikan keli lah. Padahal yang di pusing-pusing duit korang sahaja. Bila sudah tepu dan tiada prospek baharu. Maka tersontot lah beramai-ramai. Mulalah kata Melayu dengki, Cina tipu, India main kotor, kerajaan kapitalis, polis jahat dan macam-macam lagi. Puihhhhh skrip yang sama setiap kali tersontot.

  • Jana pendapatan tambahan

Jana pendapatan tambahan juga merupakan salah satu cara dalam menghadapi ekonomi yang tidak menentu ini. 

 

Tetapi awas sekiranya korang masih kerja makan gaji dan mula jam 7.00 pagi habis 5.00 petang. Elakkan menambah pendapatan ketika itu. Ingat korang dibayar untuk bekerja masa itu bukan membuat kerja yang bukan dalam skop kerja korang.

Jadi kalau mahu berniaga buatlah luar waktu anda bekerja hakiki. Baru berkat gaji. Gituuuuu.

Mulakan dengan apa yang ada dalam tangan. Ingat jangan buat pertaruhan besar pinjaman puluhan dan ratusan ribu. Statistik menyatakan lebih 90 % perniagaan melingkup dalam 3 hingga 5 tahun pertama. Jadi jangan buat pertaruhan besar.

Kawan pakcik mula berniaga dengan modal kurang dari RM 100.00 dan mula menjual dadih di kedai-kedai. Nanti pakcik akan stori kisanhnya dalam post akan datang.

  • Bersedekah

Dalam keadaan ekonomi stabil atau tidak. Bersedekah lah. Ingat tiada yang lebih tepat dan jitu janjinya melainkan janji Tuhan sekalian alam Allah SWT. Banyak cara bersedekah bukan sekadar wang ringgit sahaja.

Sekiranya kita bersedekah dengan ikhlas pada jalan Allah, Allah akan ganti lebih baik dari apa yang kita jangka. Boleh jadi dengan kestabilan kewangan, nikmat kesihatan, indah dalam berkeluarga dan pelbagai lagi di luar pemikiran manusia yang lemah ini.

Ingat pokoknya rajin bersedekah.

  • Jangan suka berhutang

 

Masalah utama orang kita terutamanya yang muda-mudi ini. Suka sangat berhutang. Berhutang yang tidak perlu. 

Contohnya berhutang membeli kereta mewah dengan komitmen bulanan mencecah RM 1000.00. Bayangkan ianya ibarat mendukung biawak hidup. Ingat kereta merupakan keperluan bukannya kehendak.

Belum-belum lagi dah manjakan diri dengan himpunan kad kredit. Swap sana swap sini. Hujung bulan ternganga bila tengok bil. 

Tidak salah beli kereta berhutang atau mempunyai kad kredit. Ingat kena sepadan dengan pemiliknya. Kalau boleh minimakan, minimakanlah. Jangan keterlaluan.




Ok lah sekian sahaja coretan yang ringkas mengenai tips mengahadapi tahun sukar ini dari pakcik. Kelak pakcik akan sambung coretan ini dengan lebih jitu dan persis. 

Ampun maaf atas kekurangan sekiranya ada.

Semoga Allah permudahkan urusan kita sepanjang tahun ini. Amiin.

Salam sayang,

Pakcik Osman .Z