Wednesday 16 November 2011

Menangislah Kamu Kerana Allah



Ada masanya kita akan menangis dengan apa yang kita lakukan. Kita menzalimi diri kita sendiri. Suatu hari pakcik pergi mengikuti majlis ilmu dan pada masa tersebut ada seorang hamba Allah ini mengemukakan soalan.

Soalan yang berbunyi lebih kurang begini:

Assalammualaikum Ustaz. Saya ingin bertanya, kenapa apabila saya sangat mudah mengalirkan air mata apabila bersolat berjemaah namun apabila saya solat seorang diri sangat sukar untuk saya mengalirkan air mata?

Jawapan dari ustaz ini agak simple dan bersahaja. Susunan intonansi jawapannya membuatkan pendengar dan juga pakcik memahami apa yang dikatakannya. Ustaz tersebut berkata kita perlu menangis mengenang akan apa yang dilakukan kita pada masa lalu. Kita telah melampaui batas. Kita juga perlu menangis mengenangkan nasib kita di akhirat kelak. Tanya dalam diri kita apakah kita mampu meletakkan hujung jari kita selama sekurang - kurangnya satu minit di atas api lilin? Ingat akhirat kelak kita tidak dapat menggambarkan nasib kita. Namun ustaz tersebut mengingatkan kami, jika air mata yang jatuh itu adalah kerana ingin menunjukkan kita menunjuk-nunjuk maka sia-sialah apa yang kita tangisi. Syaitan tidak akan berputus asa dalam menyesatkan manusia supaya kita melakukan sesuatu dengan menunjuk-nunjuk supaya semuanya jadi sia-sia.

Katakanlah: "Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesunguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

Surah Az-Zumar; ayat 53

Allah Maha Pengampun sehinggakan dalam ayat tersebut juga Dia telah memberi pengharapan bagi kita yang sering melakukan dosa ini. Namun manusia itu sering lupa, apabila saat susah Allah pengharapannya namun apabila senang Allah dilupakan.

Ya pakcik menulis ini supaya pakcik juga beringatkan diri pakcik. Kita semua berhak mengingati sesama kita dan belajarlah menerima sesuatu supaya kita kembali kepadaNya.

Adakah kita tahu bilakah akan sampai masa kita dijemput semula olehNya? Tiada siapa akan tahu mengenainya dan oleh yang demikian membuatkan kita kian jauh.

Kadangkala Allah hadirkan sesuatu yang bahagia dalam hidup kita sebagai satu ujian adakah kita akan jadi hamba yang tahu erti bersyukur atau kita terus hanyut akan kebahagiaan itu. 


Kadangkala kita akan dihadirkan keresahan, kesempitan dan kesedihan supaya kita sedar adakah kita tergolong dalam golongan hambaNya yang tahu erti sabar atau kita akan menyalahkan semua dan terus menerus meluahkan ketidakpuashatian?


Menangislah dan basahi kelopak mata kita dengan air mata yang takut akan azab Allah. Adakalanya kita mudah menangisi hati kita kerana perkara yang remeh temeh seperti gaduh dengan awek atau pekwe. Ya pakcik pernah melakukan kesilapan sedemikian dan kerana itu pakcik merasakan ia hanya sesuatu yang sia-sia. Tiada ketenangan dan kebahagiaan yang dapat menandingi rahmat pemberianNya. Maka alirkanlah air mata kita hanya kepada Dia.


Biarlah kita di siang hari ibarat seorang pahlawan di medan peperangan dalam mengejar impian, menjalankan amanah, menjalin hubungan dengan yang lain dan saat mentari hilang di ufuk barat tatkala kemuncak malam menyinggahi tepian kehidupan. serta merta kita berubah menjadi manusia yang terlalu hina untuk apa yang dikurniakan olehNya. Kita tangisi apa yang kita lalui sama ada iman kita bertambah kukuh atau kian longlai ditiup angin keduniaan. Kenangi nasib kita sama ada kita berjaya atau gagal di akhirat. Tangisi lah kerana kita masih berpeluang untuk menangisi nasib kita.


Seorang yang bijak mengatakan: "Kehidupan hanyalah sesuap nasi dan seteguk air. Adapun selebihnya adalah suatu kelebihan yang tidak telalu diperlukan"


Jangan disalah ertikan ayat di atas sehingga kita menolak hidup di dunia ini. Islam tidak pernah menghalang seseorang itu untuk berjaya dalam hidup di dunia malahan akhirat kelak.


Salam Ukhuwah dari pakcik


Insan yang sedang belajar

Osman.Z


1 comment:

Afzainizam said...

dunia hanya sementara akhirat adalah kekal selamanya

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Story terbaru blog kami...
diy paint protection film