Friday 7 October 2011

Tugas Semakin Berat: Bangunlah Bakal Pendidik

Assalammualaikum w.b.t...

Pakcik ada terbaca satu kajian yang menyentuh mengenai pencapaian murid mengikut kaum dan perbezaan lokasi dan taraf hidup. Mengapakah wujudnya ruang perbezaan yang ketara ini sehingga menyebabkan PPSMI dianggap kurang berjaya bagi sekolah luar bandar?

Di sini pakcik ingin berkongsi dua kelemahan yang timbul:

1) Terdapat jurang yang ketara antara pelajar Bumiputera dengan pelajar bukan Bumiputera dari segi kuantiti dan kualiti.

Ya ini realiti. Cuba lihat bagaimana jurang ini wujud sehingga mampu mengganggu gugat pencapaian pelajar. Apa yang diutarakan pakcik bukan satu mitos. Pembudayan ilmu dalam kalangan anak Melayu adalah lebih rendah berbanding anak bukan Melayu.

Tidak dinafikan bahawa institusi sekolah telah memainkan banyak peranan dalam menyemai pembudayaan ilmu ini. Namun pakcik berharap KSSR yang menggantikan KBSR mampu untuk membuahkan suatu perubahan yang ketara dalam melahirkan pelajar yang bersifat kreatif dan inovatif disamping meningkatkan kuantiti dan kualiti ini.

2) Faktor kemiskinan dan ketidakseimbangan sosioekonomi yang berlaku di negara ini. Hasilnya gangguan berlaku kepada aspek bahasa, angka, pembelajaran dan perkembangan minda pelajar khususnya di luar bandar.

Tahukah bahawa Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau telah gagal untuk melibatkan kesemua kaum dalam sosioekonomi secara lebih sama rata.  Adakah salah pemimpin, adakah ketirisan berlaku disebabkan kroni atau kelemahan mereka yang gagal merebut peluang sendiri? Sebabnya anda sendiri mampu untuk berfikirkan? Pakcik tidak akan putuskan tapi anda berhak tentukannya.

Di atas merupakan dua kelemahan yang paling ketara berlaku. Pakcik akui guru dan pihak sekolah disamping pemantauan ibu bapa serta sokongan persekitaran memainkan peranan penting. 

Sistem pendidikan negara diibaratkan dengan pembinaan sebuah kapal terbang. Bayangkan bermula dari jurutera sehingga ke pekerja yang bertanggungjawab memasang perlu mengambil kira setiap faktor, aspek keselamatan sehingga ke perkara paling remeh sekali. Ini kerana kesilapan dan sikap sambil lewa salah satu pihak akan mengundang bencana.

Bagi bakal pendidik marilah kita bersama-sama buka minda dan berfikir luar kotak bagaimana kita mampu menyumbangkan sesuatu apabila kita mula berkhidmat kelak. Lihat, baca, berfikir dan kaji supaya masa hadapan generasi kita akan berada dalam keadaan lebih baik.

Sekian sahaja dari pakcik, apa yang diharapkan penulisan ini mampu mencetuskan sesuatu.

Insan yang sedang belajar

Osman.Z

No comments: